Bismillah...
قَالَتِ الأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : “Orang-orang Arab Badwi berkata; ‘Kami telah beriman’. Katakanlah (wahai Muhammad); ‘Kamu belum beriman’, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja; ‘Kami telah Islam’. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah Rasul-Nya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(Al-Hujurat:14)Berkata Ibnu Abbas r.a, ayat ini diturunkan berkenaan perbuatan Arab Badwi dari kabilah Bani Asad. Di peringkat awal mereka masuk Islam, mereka berkata, “Kami telah beriman.”
Mereka juga berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Orang-orang Arab memerangimu (wahai Muhammad), sedangkan kami tidak memerangimu.” (Mukhtasar Ibnu Kathir)
Mereka berkata demikian kerana mengira bahawa keIslaman mereka merupakan jasa dan bakti yang besar di sisi Rasulullah s.a.w, dan seharusnya baginda terhutang budi terhadap perbuatan mereka. Lalu Allah menurunkan ayat ini bagi meluruskan hakikat sebenar martabat keimanan di sisi-Nya.
Firman Allah Taala:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat:15)Dalam ayat ke (15) di atas, Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni dalam tafsirnya “Sofwatu at-Tafasir”menyatakan bahawa ada tiga ciri utama umat beriman, iaitu;
1- Membenarkan Allah dan Rasul-Nya. ( إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ )
2- Tidak syak dan ragu. (ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا )
3- Berjihad dengan harta dan diri. ( وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ )
Sementara itu Sayyid Qutb menerangkan hakikat iman melalui tafsiran ayat ini bahawa sebenarnya kitalah yang perlu bersyukur atas nikmat-nikmat iman yang dikurniakan oleh Allah, kerana Dia-lah yang melimpahkan hidayah kepada kita dengan menunjukkan jalan keimanan.
Firman Allah Taala;
قُلْ أَتُعَلِّمُونَ اللَّهَ بِدِينِكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya : “Katakanlah (kepada orang-orang Arab Badwi itu wahai Muhammad); ‘Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata; ‘kami telah beriman’)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Hujurat:16)
يَمُنُّونَ عَلَيْكَ أَنْ أَسْلَمُوا قُل لّا تَمُنُّوا عَلَيَّ إِسْلامَكُم بَلِ اللَّهُ يَمُنُّ عَلَيْكُمْ أَنْ هَدَاكُمْ لِلإِيمَانِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya : “Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka); ‘Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dia-lah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat:17)
إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.” (Al-Hujurat:18)Surah ini ditutup dengan pernyataan bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat apa yang ghaib di langit dan di bumi, bererti Dia (Allah) mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati dan mengetahui hakikat perasaan. Pengetahuan Allah terhadap manusia tidak bersumber kata-kata yang dilontarkan oleh lidah mereka. Tetapi, dari perasaan yang terbit halus dalam kalbu mereka. Ini merupakan peringatan yang cukup jelas agar kaum Muslimin tidak mendahului Allah dan Rasul-Nya sebagaimana pesanan pertama surah ini.
No comments:
Post a Comment